Sunday, 13 March 2011

kelemahan umat Islam

Umat Islam sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran yang menguji keimanan mereka. Pelbagai idealisme yang bercanggah dengan Islam disuntik masuk ke dalam pemikiran mereka sehingga mengancam aqidah pegangan mereka. Antara yang terkini dan hangatnya ialah liberalisme dan pluralisme.
Liberalisme mengajak kearah kebebasan untuk berbicara dan bertindak sehingga melupakan keterikatan mereka dengan peraturan ALLAH. Pluraslisme menganggap semua agama adalah sama. Semuanya membawa ke syurga! Hasilnya umat islam kehilangan rasa izzah (bangga) dengan Islam yang dianuti. Kemuncaknya umat islam tidak merasa cemburu terhadap mereka yang berhasrat keluar daripada Islam.

Berita tentang umat Islam yang murtad langsung tidak membimbangkan hati mereka. Mereka lebih bimbang dengan makan dan minum mereka! Tanpa sedar kita diperbodohkan oleh media dengan hidangan pelbagai pertandingan dan peraduan sms.  Inilah yang dikatakan cinta dunia. Inilah penyakit umat akhir zaman.

Baginda pernah menggambarkan kepada para sahabat keadaan umat islam yang di ratah dan diserang dari segenap penjuru. Apabila ditanya oleh sahabat puncanya; adakah ia kerana bilangan umat yang sedikit? Baginda membalas; bukan kerana mereka sedikit, tetapi kerana mereka ditimpa penyakit WAHAN (lemah). Apabila ditanya; apa makna lemah? Baginda menegaskan : cintakan dunia dan takutkan mati.