Friday 17 August 2012

pesanan imam hassan al banna

Apa yang ingin saya ketengahkan di sebalik ucapan saya ini ialah supaya saya dapat paparkan gagasan kamu di hadapan mata kamu kerana mungkin detik-detik yang mencabar sedang menanti kita. Mungkin kita akan dipisahkan. Ketika itu saya tidak lagi berpeluang untuk bercakap dengan kamu atau menulis kepada kamu.

Jadi saya berpesan agar kamu berikan perhatian betul-betul kepada ucapan saya ini. Ingatlah seboleh mungkin dan bersatu padulah. Setiap perkataan dalam ucapan ini mengandungi makna yang mendalam.

Wahai Ikhwan, kamu bukan pertubuhan kebajikan, bukan parti politik, bukan badan yang ditubuhkan untuk tujuan yang terbatas. Kamu adalah semangat baru yang mengalir di hati umat ini dan menghidupkan umat ini dengan al-Quran. Kamu adalah cahaya baru yang bersinar menghapuskan kegelapan materialisme ke arah mengenali Allah. Kamu adalah suara yang berkumandang bergema melaungkan dakwah Rasulullah s.a.w..

Tidak keterlaluan jika kamu merasakan bahawa kamu adalah orang-orang yang memikul beban ini setelah semua manusia membelakangkannya. Jika kamu ditanya, ke arah manakah halatuju kamu? Jawablah, kami menyeru manusia ke arah Islam yang dibawa oleh Muhammad s.a.w.. Kerajaan adalah sebahagian daripada Islam dan kebebasan adalah salah satu hak yang wajib diberikan.

Jika kamu diberitahu ini adalah politik! Jawablah, ini adalah Islam dan kami tidak tahu wujudnya pemisahan itu. Jika kamu dituduh, kamu adalah penggerak revolusi. Jawablah, kami adalah penggerak kebenaran dan kesejahteraan. Kami yakini dan kami berbangga dengan kebenaran ini. Jika kamu menentang kami dan kamu halang jalan dakwah kami maka Allah telah benarkan kami untuk mempertahankan diri dan kamulah orang
yang membuat kekacauan dan kezaliman.

Jika kamu dituduh, kamu mendapat bantuan individu atau pertubuhan tertentu. Jawablah sepertimana firman Allah yang bermaksud:
“Kami beriman kepada Allah semata-mata, dan kami kufur ingkar kepada
benda-benda yang dengan sebabnya kami menjadi musyrik. (Ghafir: 84)

Jika mereka terus bertindak jahat, katakanlah:
“Selamat tinggallah kamu; kami tidak ingin berdamping dengan orang-orang yang jahil. (Al-Qasas: 55)

Wahai Ikhwan,

Berimanlah dengan Allah, berbanggalah kerana kamu mengenali-Nya. Bergantunglah kepada-Nya dan letakkanlah harapan kamu kepada-Nya. Janganlah kamu takut kepada yang lain, tunaikanlah perintah-Nya dan jauhilah larangan-Nya.

Amalkanlah akhlak yang mulia dan berusahalah ke arah kesempurnaan. Mantapkanlah peribadi kamu. Berbanggalah kerana kemuliaan dan penghormatan yang Allah berikan kepada kamu sebagai orang yang beriman dan soleh.

Tatapilah dan pelajarilah al-Quran, kajilah sirah Rasulullah s.a.w., jadilah orang yang beramal bukan orang yang bercakap sahaja. Apabila Allah memberi hidayah kepada manusia, Dia akan pimpin mereka supaya beramal. Manusia yang diberikan hidayah tidak akan sesat kecuali setelah mereka sentiasa berdebat.

Pupuklah kasih sayang sesama kamu. Peliharalah sebaik-baiknya hubungan kamu kerana ia adalah rahsia kekuatan kamu dan teras kejayaan kamu. Bersabarlah hingga Allah menentukan kedudukan kamu dengan kaum kamu danAllah sebaik-baik penentu.

Dengar dan taatilah pemimpin kamu di ketika susah dan senang, rela atau terpaksa. pemimpin adalah simbol gagasan kamu dan penghubung antara kamu. Nantikanlah sentiasa bantuan dan kemenangan daripada Allah. Masanya pasti akan tiba.

Firman Allah yang bermaksud:
“Dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira - Dengan kemenangan yang diberi Allah. Dia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Dia lah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.” (Ar-Rum: 4-5)

Semoga Allah memberi taufik kepada saya dan saudara sekalian supaya kita dapat melakukan apa yang disukai dan diredai-Nya. Semoga Allah memimpin saya dan saudara sekalian ke arah jalan orang-orang yang baik dan mendapat petunjuk.

Semoga Allah anugerahkan kita hidup yang mulia dan bahagia. Semoga Allah menggolongkan kita sebagai seorang pejuang dan syahid. Sesungguhnya Allah adalah Pelindung dan Penolong yang terbaik

Petikan:
Himpunan Risalah – Imam Hassan Al Banna